"Jangan! Jangan sembah aku. Aku bukan gila disembah. Aku bukan sebagai Sultan Melaka yang mengagung-agungkan pangkat dan kebesarannya. Aku Jebat, rakyat biasa. Pangkat aku untuk kepentingan rakyat. Bergerak aku untuk membuat jasa kepada rakyat, dan aku rela mati untuk rakyat.. kerana aku mahu keadilan, keadilan. Keadilan!" - Hang Jebat ( Filem Hang Jebat 1961)
"Sekarang aku akan mengacau, menghuru-harakan istana. Tuah tidak pernah derhaka, dikata derhaka. Sekarang Jebat, Jebat yang akan menderhaka!! Tuah akan ku bela, Jebat akan bermaharajalela. Jebat akan mengajar raja yang tidak adil. Suatu masa nanti kalau siapa bertanya 'kenapa Jebat derhaka?' tentu orang akan menjawab kerana rajanya yang tidak adil!!" - Hang Jebat ( Filem Hang Tuah 1956 )
Kata-kata rangkap pertama diatas diucapkan oleh Seniman Nordin Ahmad ( Hang Jebat ) didalam filem Hang Jebat ( 1961 ) yang diarahkan oleh sutradara Hussein Haniff dan skripnya diadaptasi oleh Ali Aziz. Berbeza dengan filem Hang Tuah (1956) arahan Phani Majumdar , bagi aku filem Hang Jebat lebih revolusioner dan tajam mengkritik pemerintah berbanding Filem Hang Tuah. Skrip yang dijelmakan oleh Ali Aziz jelas meletakkan Hang Jebat sebagai wira rakyat yang memberontak kerana kezaliman serta membela fitnah yang dilemparkan ke atas Hang Tuah ( M. Amin ) . Berbeza dengan watak Hang Jebat lakonan seniman Ahmad Mahmud dalam filem Hang Tuah, kata-kata Nordin Ahmad lebih memukau dengan aksen dan lenggok bahasa serta mimik muka yang dipaparkan dalam setiap babak. Jangan lupa Nordin Ahmad juga berlakon sebagai Hang Kasturi dalam filem Hang Tuah, tetapi dialog beliau terlalu sedikit dan wataknya agak tenggelam kerana kehebatan lakonan P. Ramlee dan Daeng Idris ( Dato' Bendahara ). Skrip yang ditulis oleh Ali aziz juga lebih memukau dengan sulaman perkataan yang tersirat serta penggunaan bahasa Melayu klasik yang disusun dengan penuh makna dengan perkataan yang indah. Lihat sahaja pada skrip ketika Hang Jebat pergi bertemu dengan Siput Sarawak ( isteri Hang Tuah ) untuk memohon izin membela 'kematian' Hang Tuah.
"Dia (Hang Tuah) telah terfitnah kak. Ini semuanya angkara Tun Teja. Titis air mata yang mengalir akan ku sukat dengan darah mereka yang bertanggungjawab. Mereka berniaga dengan darah, juga darahlah akan ku bayar hutangnya" - Hang Jebat.
Aku bukan mahu bercerita pasal filem-filem Melayu, walaupun aku memang minat giler dengan filem-filem melayu era Nordin Ahmad, Latifah Omar, Saadiah, Haji Mahadi dan ramai lagi. Lain ketika mungkin boleh kita bicara tentang filem-filem melayu, tapi aku lebih mahu menyentuh tentang Hang Jebat dan Megat Seri Rama serta peranan mereka dalam membentuk sikap dan wajah bangsa. Di dalam Sejarah Melayu( Sulalatus Salatin ) versi Shellabear Hikayat Hang Tuah dan beberapa kitab sejarah lain terdapat beberapa percanggahan mengenai beberapa fakta mengenai beberapa peristiwa dan watak-watak yang terlibat. Antaranya ialah mengenai asal-usul Hang Tuah yang sebenarnya. Dalam Sejarah Melayu versi awal, Hang Tuah diceritakan berasal dari Melaka hasil dari perkahwinan Hang Mahmud dan Dang Merdu Wati. Manakala Sejarah Melayu versi kesultanan Johor pula, menyingkapi bahawa usul asalnya Hang Tuah itu adalah hadiah pemberian dari Raja Bugis dan nama asal Hang Tuah adalah Daeng Mempawa. Ini mungkin tidak dapat dielakkan kerana sejarah melayu ini wujud dalam 29 versi yang berbeza. Namun kebanyakan versi-versi ini bersetuju bahawa yang berlawan dengan Hang Tuah dan terbunuh itu adalah Hang Jebat. Walaupun ada versi lain yang mengatakan bahawa Hang Kasturilah yang sebenarnya menderhaka kepada sultan. Jika diteliti tulisan-tulisan kitab lama ini, jelas pengaruh istana dan unsur feudelistik cukup kental mempengaruhi penulis-penulis dan tulisan-tulisan mereka. Kebanyakannya meletakkan bahawa Jebat yang mengamuk itu sebagai perlambangan kepada penderhaka dan pembelot negara. Walau apapun alasannya , penderhakaan kepada Sultan itu adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima. Walaupun dalam kitab-kitab lama juga terdapat watak-watak jahat seperti agen negara asing ataupun pegawai diplomatik yang mempunyai niat tersirat dari kuasa besar seperti Majapahit dan China, namun watak dan peranan mereka "diputihkan" dek kerana hubungan rapat dengan istana. Malahan kitab-kitab lama ini juga memalit kecelaan kepada Jebat dengan menyatakan bahawa Jebat berzina dan berlaku mesum dengan perempuan-perempuan istana. Tiadalah apa lagi perbuatan yang tercela dikalangan orang Melayu-Islam pada ketika itu melainkan berlaku sumbang dan bermain perempuan. Walaupun sultan juga bermain perempuan, tapi tidak pernah ada yang berani untuk menegur hatta ulama' istana. jadi tidak hairanlah jika pada hari ini, ada pihak-pihak yang masih lagi menggunakan modal salah laku seks sebagai senjata untuk menjatuhkan kredibiliti serta menghancurkan masa depan politik seseorang individu. Cerminan tentang mentaliti dan sikap orang Melayu terhadap pemerintah boleh dibaca dalam kitab-kitab melayu lama. Perlawanan kepada pemerintah akan segera didampingi dengan tuduhan sebagai penderhakaan kepada institusi kerajaan secara keseluruhannya. Hang Jebat yang berang dengan ketidakadilan Sultan Melaka, mengamuk dan menawan istana tidak pernah berniat untuk meruntuhkan melaka. Yang ditentang, yang disanggah, yang dilawan adalah batang tubuh Sultan yang zalim dan wewenang. Begitu juga yang diceritakan dalam kitab Tufat n'Nafis, wewenangnya perbuatan Sultan Mahmud II membelah perut isteri Laksamana Bentan, Megat Seri Rama yang sedang hamil hanya kerana memakan seulas nangka yang ingin dipersembahkan kepada Sultan, dibalas bunuh oleh Megat Seri Rama dihalaman masjid ketika berangkat hendak menunaikan solat Jumaat. Berkat daulat Sultan Mahmud , Megat Seri Rama muntah darah dan mati hanya kerana keris sultan terpacak dikakinya, menceritakan betapa kuasa dan daulat sultan begitu berpengaruh dalam masyarakat melayu. dan pada hari ini bolehlah kita andaikan daulat itu sebagai perlambangan kepada undang-undang yang tidak mengenal pesalah atau mangsa seperti ISA, OSA, AUKU dan sebagainya. Malangnya sikap laku ketaatan kepada pemerintah yang membuta tuli tebal didalam hati perut bangsa Melayu sampailah ke hari ini. Mereka yang berjuang demi menuntut keadilan dan membela rakyat, walaupun terpaksa merentas arus dianggap sebagai pengacau dan dilabel sebagai pembangkang. Orang melayu masih menganggap segala yang datang dari pemimpin adalah terbaik dan mereka harus menerima apa sahaja perintah dari pemimpin. Bangsa melayu masih lagi meletakkan diri mereka dalam pemerintahan sebagai orang yang diperintah sepanjang masa. Pemikiran seperti ini haruslah diubah dengan memahami bahawa pemerintahan negara juga datangnya dari rakyat jelata. Rakyat jelata mestilah meletakkan faham dalam fikir mereka bahawa pemimpin yang memerintah negara adalah dipilih melalui kuasa rakyat di dalam pilihanraya. Kalau berlaku rasa kurang senang akan pemerintahan serta dasar kerajaan, rakyat sebagai pemilih mestilah berganding bahu untuk menyuarakn rasa kurang senang itu sama ada melalui perwakilan yang dilantik atau melalui jalan lain. Walaupun sudah ada perubahan cara berfikir dikalangan bangsa melayu, terutama golongan muda dan belia mengenai hak dan tanggungjawab mereka, namun ianya masih diikat dengan ugutan dan juga rasa kurang cakna kepada politik negara. Manakala masyarakat di desa masih bergantung harap pada berita dan suratkhabar yang berpihak kepada pemerintah. hasilnya pemikiran mereka masih terkongkong dan kurang terbuka kepada pembaharuan-pembaharuan yang berlaku. Jangan apa yang berlaku kepada Hang Tuah diulang dalam kehidupan bangsa kita, melayu. Ketika sudah Jebat menjadi korban ditangannya barulah dia bertanya.
"Siapakah yang benar? Jebatkah benar, atau akukah benar?" - Hang Tuah
|