Tuesday, June 17, 2008

PAS vs Pakatan Rakyat?


Kenyataan pemimpin pemuda DAP dan PKR yang mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat mengenai hasrat dan cadangan PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam di semua negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat merupakan reaksi yang tidak mengejutkan. Malahan pimpinan tertinggi DAP sendiri telahpun memberi kenyataan awal yang mengulangi penentangan mereka terhadap sebarang polisi ataupun undang-undang yang berbau Islam. DSAI seperti biasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak memberikan sebarang komen, setidak-tidaknya kepada media tempatan.



Sebagai sebuah parti Islam, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS tidak harus dilihat sebagai tindakan untuk meruntuhkan pakatan yang dibuat oleh ketiga-tiga parti didalamnya. Sekiranya PKR sering melaungkan konsep keadilan dan kebebasan bersuara serta kesaksamaan untuk semua, DAP dengan konsep Malaysian Malaysianya , kenapa PAS dihalang dari menyatakan tentang Prinsip dan asas pokok perjuangan mereka?


Apakah salah bagi PAS untuk menuntut sesuatu dari kemenangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU-12 yang lalu? Apakah prinsip dan asas pejuangan PAS ini dilihat sebagai faktor yang akan menyebabkan keretakan hubungan ketiga-tiga parti yang menganggotainya.
Sebagai parti atau organisasi politik yang memperjuangkan konsep kebebasan bersuara dan kemutlakan demokrasi, agak janggal kenyataan ini keluar dari mulut pemimpin mereka. Kalau PKR dan DAP boleh saja bersetuju dengan golongan yang memperjuangkan kebebasan beragama, kesaksamaan hak kepada semua kaum, kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan dan anutan, kenapa mereka tidak memberikan kebebasan kepada PAS dan ahli-ahlinya serta umat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan agama Islam.


Hipokrasi dalam politik adalah perkara biasa samaada terhadapa kawan dan lawan. Tetapi tindakan yang dibuat oleh pimpinan PKR dan DAP seperti tidak menghormati hak serta kewujudan PAS didalam PAkatan Rakyat.


PKR dan DAP harus melihat betapa PAS telah berkorban banyak dalam mempastikan hasrat murni rakyat Malaysia tercapai di dalam PRU-12. Malahan PAS sanggup untuk "melembutkan" agenda Negara Islam yang menjadi dasar dan matlamat PAS, sehingga PAS dicemuh dari luar dalam parti sendiri. PAS juga tidak mempunyai masalah untuk bersama-sama dengan golongan yang anti-Islam atas dasar kepentingan rakyat dan kerukunan negara.


Malahan selepas kemenangan PAS juga telah membuka ruang kepada rakyat bukan Islam dinegeri yang diperintah PAS untuk terlibat aktif dalam pentadbiran negeri. Malahan di Perak, kerajaan negeri yang diketuai oleh Menteri Besar dari PAS bersetuju untuk memberikan ruang yang cukup besar kepada exco yang bukan Islam untuk berada dalam pentadbiran negeri walaupun menyedari majoriti rakyat negeri itu adalah orang Melayu-Islam. Kerajaan negeri juga memberikan hakmilik kekal kepada beberapa kampung baru yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Beberapa langkah yang tidak popular dikalangan rakyat negeri Perak yang berketurunan Melayu juga turut diambil walaupun PAS memperjudikan sokongan orang Melayu dan ahli partinya sendiri semata-mata menghormati Pakatan Rakyat.


Jadi sekiranya ada pihak yang mempertikaikan cadangan dari PAS, itu adalah sesuatu yang tidak melambangkan semangat Pakatan Rakyat. Apa yang perlu dilakukan oleh PKR dan DAP adalah memberikan peluang kepada PAS untuk menjelaskan isu ini sebelum membuat kenyataan yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan ahli PAS yang selama ini merasakan PAS terlalu beralah dengan rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat.


PAS mestilah meneruskan pendirian tegas seperti yang dilakukan sekarang. PAS tidak perlu berkompromi dengan mana-mana tindakan dari rakan-rakan Pakatan Rakyat sekiranya jelas mereka sendiri tidak menghormati prinsip PAS.


PAS juga haruslah lebih berani untuk menuntut dan mempertegaskan polisi dan tindakan yang diambil oleh parti bagi mempastikan agenda PAS tidak layu dan dilihat hanya terikut-ikut dengan arahan dari rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. PAS harus menyedari bahawa PAS adalah rakan kongsi didalam Pakatan, bukannya pemegang minority share. Walaupun kerusi yang disumbangkan PAS sedikit jika dibandingkan dengan parti-parti lain, kehadiran PAS adalah penentu kepada kejayaan Pakatan Rakyat ataupun kelangsungan Barisan Nasional.
Yang paling utama kepimpinan PAS harus dilihat sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat dan bukan hanya menjadi 3rd leader di dalam Pakatan. Kepercayaan yang diberikan rakyat kepada PAS adalah kerana selama ini PAS berpegang teguh kepada Islam, dan menjadi harapan kepada rakyat Malaysia seperti saya untuk melihat PAS menjadi entiti utama pembentukan sebuah Malaysia baru.

 
a>