Thursday, July 17, 2008

POLITIK SABAH: MAMPUKAH PARTI DARI SEMENANJUNG DITERIMA

POLITIK SABAH: MAMPUKAH PARTI DARI SEMENANJUNG DITERIMA?

Penulisan mengenai politik Sabah sering menjadi hot-seller terutama pada akhir tahun 70-an sehingga awal 90-an. Tanyalah pemerhati-pemerhati politik nasional, mereka pasti meletakkan scenario politik Sabah sebagai antara yang paling mouth-watering berbanding negeri-negeri lain.

Semangat kenegerian yang kuat, kesukuan yang menebal, polemik antara agama, pengaruh Indonesia dan Filipina, tikam belakang ( bukan main belakang ), kepelbagaian parti politik, rasuah yang diterima umum, dendam kesumat politik, budaya lompat parti dan banyak lagi adalah sebahagian dari rencah yang membumbui politik Sabah.

Rakyat Sabah juga agak terbuka dalam memilih pemimpin negeri jika dibandingkan dengan rakyat di semenanjung. Ada beberapa negeri di semenanjung yang melalui pengalaman baru selepas Piliharaya ke-12 (PRU-12) dengan parti yang membentuk kerajaan bukan lagi dari Barisan Nasional tetapi dari Pakatan Rakyat (PR). Tetapi semenjak kemasukan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia, rakyat negeri ini telah melihat beberapa kali perubahan parti pemerintah di peringkat negeri.

Selepas kemerdekaan Sabah pada tahun 1963, United Sabah National Organisation (USNO) dibawah pimpinan Tun Fuad Stephen dan Tun Datu Mustapha menjadi parti dominant yang memerintah Sabah sehinggalah tahun 1976. Parti BERJAYA dibawah pimpinan Datuk Harris Salleh kemudiannya mengambilalih pemerintahan negeri sehinggalah tahun 1983. Parti Bersatu Sabah ( PBS ) yang diterajui oleh Datuk Pairin Kitingan dengan bantuan tangan-tangan ghaib dari semenanjung membentuk kerajaan baru melalui pakatan dengan USNO. UMNO kemudiannya “merampas” Sabah dari PBS dan sehingga hari ini menjadi parti peninsular-based yang pertama membentuk kerajaan di Sabah.

Selepas PRU-12 desas-desus mengenai Ahli Parlimen (MP) dari Sabah yang akan melompat ke Pakatan Rakyat menjadi isu hangat yang dibicarakan tanpa henti oleh politician dan para pemerhati politik. Peranan besar MP dari Sabah dan Sarawak mengekalkan pemerintahan Barisan Nasional di peringkat pusat menjadi modal menuntut hak-hak sabah yang selama ini dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat. Maka diumumkanlah peruntukan berbillion ringgit untuk Sabah dan berduyun-duyunlah menteri-menteri pusat termasuk Perdana Menteri melawat dan menjanjikan gelombang pembangunan bagi Sabah.

Manakan tidak, Pakatan Rakyat juga sedang ‘miang’ untuk meminang MP dari Sabah untuk “berkahwin” dan mendirikan sebuah kerajaan baru. Hantarannya pula bukan main-main, bukannya 7 dulang hati nyamuk atau bertempayan-tempayan air mata anak dara, tapi segala tuntutan dari rakyat Sabah yang selama ini gagal dipenuhi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). MP dari Sabah betul-betul jual mahal kali ini, mereka tahu nilai mereka lebih tinggi dari anak dara sedang mekar atau janda berhias kematian suami di malam pertama!.

Persoalannya mampukah parti peninsular-based khususnya Pakatan Rakyat (PR) menjadi pilihan rakyat Sabah. Kalaupun berjaya membentuk sebuah kerajaan melalui “lompatan”, apakah jaminan rakyat Sabah akan mengundi mereka di dalam Pilihanraya ke-13 ? Apakah ideologi keadilan untuk semua, Malaysian Malaysia atau Pemerintahan Islam boleh diterima oleh rakyat Sabah yang begitu rencam latar sosio budayanya? Apakah budaya politik semenanjung mampu mengubah budaya politik Sabah yang sukar diramal itu? Apakah pemimpin-pemimpin PR di semenanjung memahami budaya dan sikap rakyat Sabah yang lebih suka “menyumpit” dalam semak dari bertempur secara terbuka?

UMNO sedar akan bahaya silat politik Sabah dan pukulan KO politician dari Sabah. Lantas pokok yang mengakar lama dalam politik Sabah harus diracuni dan putiknya tidak boleh dibiarkan hidup. 21 Februari 1991, tarikh hitam bagi politik Sabah, USNO dibubarkan dan ahlinya diarahkan untuk menyertai UMNO. Walaupun terdapat bantahan dari pimpinan dan ahli bawahan, Tun Datu Mustapha yang sedang uzur ketika itu, tidak terdaya menentang keinginan membuak-buak UMNO dan Tun Dr Mahathir terhadap Sabah. Berapa tempayan air mata yang dihamburkan oleh pimpinan USNO dan rakyat Sabah ketika itu tidak terkirakan. Yang sensitif cepat menanggapi bahawa ketuanan rakyat Sabah sudah dikuburkan bersama terkuburnya USNO.

Rakyat Sabah, terutamanya yang berketurunan Melayu-Islam tidak punya pilihan yang banyak pada hari ini.Ada lebih kurang 8 parti politik di Sabah selain UMNO dan parti-parti dalam PR dan tidak satupun yang merupakan Malay-Muslim based party. Salah satu faktor utama kemampuan UMNO bertahan di Sabah pada hari ini, adalah kerana rakyat Sabah khususnya Melayu-Islam tidak punya pilihan lain dan bukannya kerana kekuatan UMNO itu sendiri.

Percubaan beberapa pemimpin UMNO untuk menubuhkan United Sabah Bajau Organisation (USBO) segera dicantas oleh UMNO dengan kecurigaan bahawa ianya adalah percubaan untuk re-incarnate USNO. Walaupun dinafikan oleh beberapa orang pimpinan USBO, ianya tidak dapat memadamkan api curiga UMNO di peringkat pusat.

Namun suatu hakikat yang harus diakui ialah rakyat Sabah sebenarnya sebelum kedatangan UMNO colour-blinded dalam soal perkauman dan agama. BERJAYA dan PBS adalah dua parti multiracial jauh terkehadapan berbanding Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam membawa idealogi kesamarataan untuk semua kaum. Sifat perkauman dikalangan rakyat Sabah juga tidaklah setebal keadaan di semenanjung. Sebab itu rakyat Sabah lebih berbangga untuk memperkenalkan diri mereka sebagai Sabahan dari menyebut bangsa atau suku kaum mereka.

Namun budaya perkauman ini semakin hari semakin menebal dek kerana budaya politik baru yang dibawa oleh UMNO. Parti-parti politik seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Persatuan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK), Persatuan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (UPKO), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan beberapa parti lain lebih cenderung untuk memperjuangkan bangsa dan suku kaum masing-masing berbanding kepentingan rakyat Sabah secara keseluruhannya. Malahan kaum Cina Sabah lebih selesa untuk mengundi parti Cina dari Sabah seperti SAPP dan LDP berbanding MCA. Malahan Sistem Penggiliran Jawatan Ketua Menteri telah diperkenalkan oleh BN diawal pemerintahannya bagi memperkenalkan politik divide and rule di Sabah.

Percubaan Parti Rakyat Sabah Bersekutu (BERSEKUTU) parti jelmaan semula BERJAYA untuk membawa perjuangan tanpa batas bangsa dan agama gagal mendapat tempat dalam generasi baru Sabah. Percubaan dalam 3 pilihanraya lepas memperlihatkan parti berbilang bangsa tidak lagi menjadi pilihan pengundi Sabah.

Politik Divide and Rule adalah senjata ampuh BN untuk terus berkuasa di Sabah. Selagi tidak ada parti yang Sabah-based , UMNO tidak punya musuh yang boleh dibimbangi dan mereka akan terus berada dalam keadaan selesa. Dalam piliharaya ke-12 yang baru lalu, kesemua calon-calon UMNO menang mudah terutamanya di kawasan-kawasan Melayu-Islam.

Kembali kepada persoalan sama ada PR berjaya untuk mengambil alih pemerintahan di negeri ini, secara teorinya ia agak mustahil. Idealogi parti-parti di dalam PR adalah terlalu asing bagi pengundi Sabah. Walaupun berjaya ‘mencuri’ satu kerusi Parlimen di Kota Kinabalu, ianya bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan kayu ukur. Penduduk kawasan Bandar khususnya Kota Kinabalu memilih calon DAP yang dilihat lebih Chinese based berbanding calon BN. Yang peliknya calon PKR yang bertanding di kawasan sama turut mendapat jumlah undi yang hampir sama dengan calon DAP yang dipercayai adalah undi yang datang dari pengundi Bumiputera. Sandakan juga hampir memperlihatkan pola yang sama. Kemenangan calon BN hanya kerana faktor pertembungan tiga penjuru antara calon DAP, BN dan Bebas dalam kawasan Parlimen tersebut. Sandakan adalah kawasan hitam bagi BN sebelum ini kerana calon mereka tewas kepada calon Bebas dengan majoriti yang agak besar pada pilihanraya lalu.

Konsep Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP tidak akan diterima sama sekali oleh rakyat Sabah. Jaminan hak keistimewaan bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dijamin di dalam Perlembagaan merupakan perkara pokok yang tidak membenarkan pengundi Sabah mengundi DAP yang memperjuangkan hak sama rata untuk semua kaum. Tuntutan 20 Perkara yang menjadi syarat untuk Sabah bergabung dengan Persekutuan Malaysia juga menjadi penghalang terbesar kepada mana-mana parti politik yang peninsular-based unuk menjadi pilihan pengundi Sabah. Walaupun mungkin boleh mendapat undi kaum Cina terutama di kawasan bandar-bandar besar, DAP dilihat terlalu chauvinist kepada rakyat Sabah termasuklah pengundi kaum Cina di kawasan Pedalaman dan kaum Cina-Kadazan ( Sino ).

Namun kelebihan yang boleh dimanipulasi oleh DAP untuk melebarkan pengaruhnya di kawasan bandar di Sabah, adalah melalui suratkhabar berbahasa Cina yang diterbitkan di setiap bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Berbeza dengan penerbitan suratkhabar di semenanjung, komuniti Cina di Sabah menikmati access kepada maklumat bukan sahaja yang bersifat nasional dan regional, tetapi maklumat lokal yang tidak dinikmati oleh kaum lain. Penyaluran maklumat yang tepat mengenai dasar parti mampu untuk memikat pengundi dari dari kaum Cina terutamanya generasi muda.

Buat masa kini peluang PAS untuk mendapat tempat di Sabah agak sukar dan PAS dilihat sebagai parti yang hanya sesuai di semenanjung. Maklumat sehala yang diperolehi oleh kebanyakan rakyat Sabah menyebabkan imej PAS di kalangan pengundi terlalu hitam dan kelam. Tidak kurang yang menanggapi PAS sebagai sebuah parti yang membawa ajaran sesat dan sinonim dengan ajaran Al-Arqam. Terima kasih kepada media yang berjaya memotretkan wajah watak jahat dan sesat ini kepada PAS. Bagi penduduk di kawasan pedalaman pula, keadaan lebih menyedihkan, ramai yang langsung tidak mengenali PAS. Semasa PAS bertanding buat kali pertama di salah satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sandakan, ramai penduduk yang bertanya sama ada bendera PAS itu adalah bendera Negara Jepun.!

Berbeza dengan keadaan di semenanjung, Islam belum membudaya dan mengakar dalam kehidupan penduduk Sabah. Islam dilihat hanya sebagai agama ritual dan pengaruh agama dalam kehidupan di Sabah tidak terlalu signifikan dan berlegar di sekitar masjid dan kenduri-kendara sahaja. Ini dipengaruhi oleh faktor kemasukan Islam di Sabah yang secara amnya hanya bermula pada akhir kurun ke-19 berbanding dengan semenanjung yang menerima Islam jauh lebih awal. Kekurangan Sekolah agama dan sekolah pondok yang hampir tiada mewujudkan satu masyarakat yang kurang akrab dengan agama dan melihat agama itu hanya untuk orang alim dan warak.

Politik Islam belum menjadi sebahagian dari bentuk siasah yang boleh diterima malahan dianggap mustahil oleh rakyat. Kotornya politik di Sabah itu tidak memungkinkan Islam diasosiasikan dengan politik dan pemerintahan.

Penggerak PAS juga kebanyakannya dianggotai oleh guru-guru dari semenanjung dan penglibatan anak tempatan agak terhad. Sentimen anti-Malaya yang masih menebal di sesetengah kawasan terutamanya di Pedalaman menyukarkan lagi usaha PAS untuk melebarkan pengaruhnya di Sabah.

Walaubagaimanapun dengan ramainya anak Sabah yang berpeluang melanjutkan pelajaran di semenanjung seterusnya terdedah kepada politik Islam yang dibawa oleh PAS menjanjikan masa depan yang sedikit cerah buat PAS di Bumi Bawah Bayu ini. Anak-anak muda yang lebih terdedah kepada politik di semenanjung juga akan mempengaruhi pola pemikiran ibu bapa mereka terhadap PAS. Atas dasar itulah PAS berani meletakkan calon-calonnya di kawasan Melayu-Islam ( baca Bugis ) disebabkan oleh rata-rata rakyat Sabah berketurunan Bugis mempunyai anak yang belajar di universiti tempatan mahupun semenanjung. PAS juga mempunyai pengaruh yang agak kuat di kawasan majoriti suku kaum Bajau terutama kawasan Kota Belud.

Pembukaan beberapa sekolah agama dan pengenalan system pondok akan turut menjadi aset kepada perkembangan PAS di Sabah pada masa akan datang. Saya akan ulas dengan lebih terperinci mengenai pengaruh dan masa depan PAS di Sabah di dalam artikel saya yang akan datang.

PKR menjadi satu-satunya parti yang mampu menawan hati rakyat Sabah buat masa kini. Selain dari tawaran yang menggiurkan buat rakyat Sabah , pengaruh Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menjadi pemimpin UMNO masih lagi teguh terutama di kawasan-kawasan non-Muslim. Strategi PKR yang melantik ramai anak tempatan yang berpengaruh dari pelbagai latar agama dan bangsa juga menarik perhatian rakyat Sabah. Nama Datuk Jeffery Kitingan yang dianggap sebagai salah seorang wira suku kaum Kadazan Dusun yang menjadi pimpinan PKR mampu untuk menarik sokongan suku kaum Kadazan Dusun dan Murut terutama di kawasan Pedalaman dan majority dari kalangan Bumiputera Bukan Islam.

Manifesto PKR yang menjanjikan pembahagian royalti minyak sehingga 20% kepada negeri Sabah bukan sesuatu yang mudah untuk ditolak. Malahan ada cadangan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri Kedua dari Sabah dan Sarawak sekiranya PR berjaya membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu ditangani oleh PKR sekiranya mahu diterima oleh rakyat Sabah. Pertamanya dalam isu keselamatan dan ancaman pendatang asing. PKR melalui Datuk Jeffery Kitingan yang dilihat menjuarai isu ini, malahan mendesak campurtangan Yang Dipertuan Agong bagi menyiasat pemberian Kad Pengenalan kepada warga asing boleh menjadi senjata yang akan mencederakan tuannya sendiri jika tidak ditangani secara bijaksana.

Desakan PKR agar isu ini segera disiasat mungkin mendapat sokongan padu dari suku kaum tempatan yang merasakan diri mereka semakin kehilangan kuasa ekonomi dan politik kepada kaum yang dilabel sebagai pendatang. Suku kaum pendatang seperti Bajau, Bugis dan Suluk pula melihat ini sebagai ancaman kepada kedudukan mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak hairan keputusan PRU-12 memperlihatkan penolakan total rakyat kepada PKR khususnya di kawasan majoriti suku kaum pendatang tetapi mendapat undi yang relatif tinggi di kawasan majoriti Bumiputra Bukan Islam.

Begitu juga dengan isu pembahagian kerusi pilihanraya. DAP, PKR dan parti-parti lain seperti BERSEKUTU belum memeterai perjanjian untuk mengelakkan pertembungan dalam kawasan yang sama di Sabah. Ini menyebabkan terdapatnya kawasan-kawasan yang berpeluang untuk dimenangi oleh PR akhirnya jatuh ke tangan calon BN disebabkan oleh pecahan undi di kalangan penyokong DAP dan PKR. Di beberapa kawasan factor calon Bebas memainkan peranan yang penting dalam menentukan siapa pemenangnya.

Begitu juga dengan calon-calon yang diletakkan oleh PKR yang bukannya terdiri dari tokoh tempatan dan menyebabkan pengundi tidak punya pilihan lain selain mengundi calon BN yang dilihat lebih berwibawa.

Pendekatan ceramah terbuka dalam kempen Pilihanraya yang diamalkan oleh PR bukanlah sebahagian dari budaya politik di Sabah. Berlainan dengan senario di semenanjung, ceramah umum tidak menjadi pilihan kepada rakyat Sabah untuk mendapat maklumat. Mereka lebih selesa untuk membaca suratkhabar atau mendapat maklumat dari kaca televisyen. PKR mungkin boleh memanipulasi sedikit kebebasan akhbar yang dinikmati penduduk Sabah melalui 4 suratkhabar utama di Sabah dalam pilihanraya akan datang.

PKR juga harus memaklumi sentiment kaum dan kekeluargaan sebagai factor calon diundi dalam pilihanraya. Kesetiaan kepada suku kaum dan keluarga mengatasi kesetiaan kepada parti bagi penduduk Sabah. Sebab itu ramai calon PRU-12 lalu lebih selesa dan berasa selamat untuk bertanding di kawasan ramai suku kaum dan kaum kerabat mereka. Tidak hairan jika banyak parti politik di Sabah terbentuk atas dasar suku kaum seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (Murut) dan Parti Bersatu Sabah (Kadazandusun).

Isu rasuah dan salahguna kuasa yang sering diperjuangkan oleh PKR bukanlah isu yang glamour di kalangan pengundi. Rasuah, penyelewangan dan salahguna kuasa sudah menjadi kebiasaan kepada ahli politik Sabah. Bukan untuk merendahkan maruah rakyat Sabah, tetapi itulah hakikat yang harus diterima. Selagi mana ahli politik itu mampu membawa pembangunan, menghulurkan bantuan kepada “budak” sekolah, menziarahi ketika kenduri kendara dan sebagainya, selagi itulah kerusi kawasan beliau selamat.

Kesimpulannya untuk melihat suatu perubahan kepimpinan politik di Sabah perlu ada sebuah parti yang dilihat Sabah based dan didokongi oleh pemimpin dari berbilang suku kaum. Parti yang menjadikan isu-isu Sabah dan local sebagai perjuangan mereka dan mampu untuk membawa suara rakyat Sabah dengan lebih berkesan di Parlimen. Ia juga dilihat mampu untuk memberikan pembangunan kepada Sabah terutama dalam bidang pendidikan dan perhubungan jalanraya yang dhaif. Isu-isu sensitive seperti pendatang asing, tanah adat, hubungan antara agama, pembangunan di kawasan Pedalaman seharusnya bijak ditangani bagi mendapat sokongan pada dari rakyat. Pendekatan politik personal touch juga mampu untuk menarik sokongan dari rakyat Sabah yang selama ini dipinggirkan oleh pemimpin mereka sendiri.

Rakyat Sabah adalah masyarakat yang celik politik dan membaca politik itu dalam bahasa mereka tersendiri. Mana-mana pihak yang gagal untuk menelah atau membaca isyarat politik dari rakyat Sabah terpaksa bersiap untuk menggulung tikar mereka. Rakyat Sabah lebih suka menyumpit dalam semak dari bertempur secara terbuka.











 
a>