" ..ini adalah Satu Penghinaan.." pernyataan tegas ini dibuat oleh Ahli Parlimen Kalabakan dalam ucapan perbahasan mengenai Titah Yang Dipertuan Agong.
Beliau membuat kenyataan berkenaan bagi menggambarkan perasaan pemimpin dan rakyat Sabah apabila hanya diberikan 3 kerusi menteri yang tidak penting selepas PRU-12. Dari menteri yang menjaga muzium dan tarian ke menteri yang menjaga awan. Kenyataan ini dibuat menyusul selepas ahli parlimen Kimanis, membuat kenyataan berani dengan mengatakan bahawa ahli parlimen dari sabah lebih rela duduk di rumah teres dari rumah banglo jika hanya diletak ditepi tandas.
Ahli Parlimen Kalabakan juga membuat kenyataan bahawa kerajaan BN selama ini menjadikan rakyat Sabah sebagai 2nd Class Citizen walaupun rakyat sabahlah yang menyelamatkan BN dalam PRU-12. Beliau juga seterusnya tidak menafikan ahli parlimen dari sabah akan keluar dari BN dan membentuk sebuah parti baru. Beliau kemudiannya menggulung perbahasan beliau dengan memberi amaran, bahawa tsunami politik akan berlaku di Sabah, jika tuntutan-tuntutan rakyat tidak didengari.
Syabas ahli-ahli parlimen dari Sabah. Keberanian seperti inilah yang dituntut, kenyataan seperti inilah yang kami mahukan. walaupun kita " belum " satu suara, kita sebenarnya sebahasa. Mungkin kerajaan BN sudah sedikit lupa dengan sejarah kita, mereka perlu diberi peringatan dengan mengulang kembali sejarah itu.
Ada beberapa perkara yang disentuh oleh YB kalabakan yang sebenarnya sudah lama perlu disuarakan di parlimen.
Berkaitan dengan pendidikan dan prasarana sekolah. Kerajaan begitu gah mahu melaksanakan sekolah bestari dan pembinaan makmal-makmal komputer di setiap sekolah diseluruh negara. Apakah menteri yang membuat kenyataan itu pernah pergi melihat sekolah-sekolah untuk anak-anak kami di pedalaman, jangankan bekalan elektrik, suis pun tidak pernah mereka lihat!!
pendidikan juga perlu dibawa untuk merasai sendiri penderitaan anak-anak kami saban hari untuk mencari ilmu. Ada yang berjalan kaki berkilometer jauhnya, merentasi selut setinggi lutut, jambatan gantung yang hampir runtuh, batu kerikil yang tajam dan panas dengan berkaki ayam atau kasut "adidas kampung " yang sudah haus. Belum lagi dengan kemudahan bilik yang air yang hampir tiada, bekalan makanan yang sama tarafnya dengan makanan kucing ( seperti yang dikatakan oleh MP Kalabakan ), guru-guru yang terpaksa mengajar 4-5 matapelajaran yang berbeza, kerusi dan meja yang tidak mencukupi sehingga terpaksa anak-anak kami belajar dengan hanya duduk di atas lantai, kapur, kertas, mesin pencetak dan kemudahan lain yang serba tidak mencukupi, dan menteri itu terus bicara soal sekolah bestari, makmal komputer, pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris..!!
Mengenai kemudahan pengangkutan, aku merasakan bahawa kemudahan pengangkutan di sabah sama seperti yang ada di semenanjung sebelum merdeka. Kalau lorong-lorong di kampung-kampung di semenanjung mempunyai jalan-jalan tar yang setebal 4 inci, jalan-jalan kampung kami lebih teruk dari jalan balak yang ada disini. Perjalanan dari tawau ke kota kinabalu misalnya yang sejauh lebih kurang 450Km memakan masa lebih dari 10 jam, sedangkan perjalanan yang lebih kurang jaraknya di semenanjung hanya memakan masa lebih kurang 4 jam. Ini adalah disebabkan oleh jaluran jalanraya yang sungguhhhh dhaif di negeri Sabah.