Tuesday, September 9, 2008

Bah, Ke Pensiangan kita

Sekiranya tiada rayuan dibuat ke Mahkamah Pilihanraya selepas 14 hari dari keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa keputusan Pilihanraya P.182 Pensiangan sebagai batal maka SPR haruslah menetapkan satu tarikh bagi Pilihanraya Kecil bagi parlimen tersebut. Apapun keputusan mahkamah, jentera Pakatan Rakyat haruslah digerakkan bagi mempastikan 'urang sabah tidak kasi malu sama Pakatan'.


Parlimen Pensiangan terletak di kawasan Pedalaman Bawah Sabah dan hanya kira-kira 20 kilometer dari sempadan Indonesia ( Pengundi hantu ?) . 2 DUN yang terletak di bawah Parlimen ini iaitu N.37 Nabawan dan N.38 Sook. Pensiangan merupakan kawasan baru selepas persempadan semula tahun 1999 dan sebelumnya hanya merupakan sebuah DUN.


Bersempadan dengan daerah Keningau di bahagian Utara dan bersebelahan dengan daerah Kalabakan di bahagian bawahnya. Boleh dihubungi melalui sistem jalanraya samada dari Keningau ataupun Tawau. Kawasan piggir laut terhampir dari Pensiangan adalah 155km.


Jika dilihat dari segi komposisi kaum di daerah ini, kaum bumiputera bukan Islam merupakan kaum teramai di Parlimen ini dengan kira 85% dari jumlah keseluruhan penduduk, majoritinya dari suku kaum Murut dan Dusun. Selebihnya terdiri dari Bumiputera Islam 12%, Cina 1.9% dan lain-lain 0.1%. Majoriti penduduk kawasan ini bergantung hidup kepada ekonomi pertanian tradisional dan perniagaan kecil-kecilan.

Jangkauan media elektronik hanyalah RTM 1 dan 2. Itupun kalau tak hujan, kalau hujan kita bolehlah menonton "rintik-rintik hujan" tu kat tv. Suratkhabar tempatan biasanya boleh dibaca pada hari yang sama, dan suratkhabar utama seperti berita harian dan utusan boleh dibaca selepas 2 hari peristiwa tu berlaku. Maksudnya kalau banjir kat kedah berlaku hari rabu, hari jumaat baru pnduduk pensiangan dapat tengok berita tu. Tapi jangan tak tahu, penduduk Pensiangan sebenarnya mempunyai acces kepada media yang paling terbuka di Malaysia!! kenapa, tak percaya?? Ini kerana mereka boleh membeli parabola dari negara jiran dengan harga yang murah.Astro apa barang??kat sini nak tengok channel venezuela pun selamber je.


Dari sudut politik, sebelum Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, tiada sesiapa yang boleh berbangga yang Pensiangan adalah kubu kuat mereka. Ini kerana sejarah mencatatkan bahawa pertandingan di kawasan ini biasanya sengit dan hanya dimenangi oleh seseorang calon dengan majoriti yang kecil.


Pada tahun 1976, ketika pensiangan masih merupakan sebuah DUN, calon parti Berjaya, memenangi pilihanraya dengan majoriti 605 undi. Pada tahun 1986, calon PBS Adut Sigoh memenangi kawasan Dun Pensiangan dengan majoriti 1603 undi menewaskan calon Usno dan Bebas. Pada tahun 1999, Ulin Pamiang dari PBS memenangi kawasan tersebut dengan jumlah majoriti undi sebayak 1279. Selepas persempadan semula tahun 1999, Pensiangan diletakkan sebagai Kawasan Parlimen yang meliputi Dun Nabawan dan Sook. Pada piliharaya tahun 2004, calon PBRS-BN Bernard Maarat @ Ben memenangi kawasan ini dengan majoriti tipis 608 undi.

Pola pengundian ini menunjukkan bahawa pengundi di Parlimen Pensiangan tidak memilih calon berdasarkan parti kerana dalam piliharaya-piliharaya yang lepas beberapa calon dari parti yang berbeza telah berjaya memenangi kawasan ini. Ini memberikan peluang kepada calon dari mana-mana parti politik untuk memenangi kawasan ini dalam pilihanraya kecil yang akan datang termasuklah calon dari Pakatan Rakyat (PR).
Perlu difahami bahawa pengundi-pengundi dari kawasan Parlimen ini mempunyai pertalian saudara antara satu sama lain dan terikat dengan adat-adat suku kaum Murut yang ketat. Oleh itu bagi mempastikan calon yang dipilih itu diterima oleh pengundi, faktor keluarga dan keturunan memainkan peranan yang besar. Begitu juga dengan faktor suku kaum dan agama.
Isu-isu yang boleh menarik perhatian pengundi seperti ekonomi, permasalahan milikan tanah, kemudahan infrastruktur dan utiliti harus ditangani dengan penuh bijaksana oleh parti yang bertanding.
Satu lagi faktor penting dalam menarik undi di parlimen ini adalah faktor agama. Seingat saya dan melalui pengalaman beberapa bulan duduk di daerah Nabawan mendedahkan saya betapa kuatnya pegangan pnduduk di sini kepada agama Kristian sebagai agama utama disamping kpercayaan nenek moyang. Calon yang dilihat mempunyai latar belakang agama yang kuat dan rapat dengan budaya tempatan mempunyai [peluang yang cerah untuk memenangi hati pengundi.
Salah satu ancaman yang perlu diawasi oleh calon PR adalah pengundi hantu. Dekatnya kawasan ini dengan sempadan Indonesia membolehkan pengundi hantu mengundi tanpa dapat dikesan. Agak sukar untuk membezakan penduduk tempatan dan negara jiran kerana mereka terdiri dari suku kaum yang sama.
Seperti mana kawasan pedalaman yang lain, penduduk di kawasan ini meletakkan persoalan pembangunan dan ekonomi sebagai keutamaan dalam memilih calon mewakili mereka di Parlimen. Sesungguhnya umum mengetahui kepakaran BN dalam soal mambawa 'pembangunan mee segera' dalam pilihanraya.
namun dalam suasana ini, saya yakin dan percaya bahawa penduduk Pensiangan dan Sabah amnya bijak untuk memilih pemimpin yang benar-benar mampu untuk mengangkat dan membela nasib mereka yang selama ini terpinggir. Sekiranya PR berkerja keras dalam pilihanraya kecil yang mungkin berlaku, peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Pensiangan adalah cukup cerah.

No comments:

 
a>